Salam Syawal kepada sesiapa yang terjengok.. ter"kelih".. terbaca laman blog hamba yang tak seberapa nie.. Selamat Hari Raya maaf zahir dan batin, seandainya ada coretan yang menguris hati atau menyemak minda..
Dah masuk hari raya ke-10 baru mak ucap selamat ngan mintak maaf Jah.. haru betol.. mak sebenarnya busy (buat2 busy pun ada gak) sepanjang Syawal nie.. tak sempat ke nak meng"update" kan laman sesawang nie.. tu yg banyak sawang.. adehhh..
Takde apa lak yang nak di updatekan setakat nie.. dari takde langsung, mak nak sharekan video pasal PM Singapure, Mr Lee berucap semperna rapat umum hari merdeka Singapura semalam.. yang nak disharekan nie ucapan beliau dalam bahasa Melayu.. pandai Jah dia cakap Melayu.. tak pelat langsung dengar cerita dia pandai gak baca tulisan Jawi dan berbahasa Rusia..
VIDEO: PM Singapura Fasih Bercakap Melayu
PERDANA Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, memuji masyarakat Melayu/Islam atas kemajuan besarnya sejak negara mencapai kemerdekaan.
Kemajuan ini kata beliau, harus didukung masyarakat Melayu/Islam selain terus berganding bahu bagi menghuraikan isu-isu masyarakat secara harmoni dan bersepadu.
Berucap dalam bahasa Melayu, Encik Lee turut mengalu-alukan pencapaian golongan belia Melayu/Islam, menyifatkan golongan itu sebagai harapan bangsa yang sedang menunjukkan prestasi yang baik.
“Memang tidak boleh disangkal lagi anda sudah mencapai kemajuan besar sejak kita merdeka,” kata Encik Lee di Rapat Hari Kebangsaan, malam tadi.
Berucap di Pusat Budaya Universiti (UCC), Universiti Nasional Singapura (NUS) itu, Encik Lee menyenaraikan beberapa contoh belia Melayu/Islam cemerlang.
Antara contoh yang beliau kemukakan ialah dua penghuni Rumah Tumpangan Darul Ma’awa – Encik Sufian Anwar dan Encik Zulfadli Nazaluddin.
Encik Sufian seorang pemain bola sepak pasukan Singa XII manakala Encik Zulfadli pula penganalisis satelit SingTel lulusan politeknik yang kini mengejar ijazah di NUS.
Perdana Menteri turut menukil kisah Encik Muhammad Kamal Jauhari Zaini, yang ketika remaja, gemar menghisap rokok, ponteng sekolah dan sering dirotan.
Beliau berubah dan baru-baru ini lulus dengan ijazah kepujian kelas pertama dan menerima Pingat Emas Lee Kuan Yew.
Seorang lagi yang menerima perhatian Perdana Menteri dalam ucapannya ialah penerima Biasiswa Presiden, Aidil Hakeem Mohamad Rafee.
“Semua kejayaan ini terpampang depan mata kita. Ia membuktikan orang Melayu boleh melakukannya,”ujar Encik Lee.
Ucapan Perdana Menteri dalam bahasa Melayu awalnya menyentuh mengenai hala tuju negara ini dan bagaimana masyarakat Melayu/Islam dapat maju bersama.
Encik Lee berkata, dalam mengejar kemajuan, negara perlu menghuraikan masalah utama iaitu kadar kesuburan yang rendah.
“Pemerintah akan cuba sedaya upaya menggalak pasangan-pasagan supaya berumah tangga dan mempunyai anak.
“Pendek kata saya berharap dapat mendengar lebih banyak paluan kompang dan tangisan bayi daripada anda tidak lama lagi,” kata Encik Lee.
Perdana Menteri yakin rakyat inginkan negara ini kekal sebagai kediaman yang terbaik – yang membolehkan generasi seterusnya mencapai impian masing-masing.
Bagi mencapai matlamat itu, Encik Lee berkata negara ini harus mengamalkan dasar berbilang kaum.
Membuat gesaan sedemikian khususnya kepada badan-badan Melayu/Islam dan para aktivis Encik Lee berkata semangat gotong royong perlu dikekalkan demi kemajuan masyarakat yang sehaluan dengan kemajuan negara.
“Sebenarnya saya gembira kerana ramai yang berbuat demikian menerusi Forum Pemimpin Masyarakat (CLF).
“Anda harus kekalkan semangat gotong royong ini. Gunakanlah sumber dan bakat anda sebaiknya supaya kita dapat hasilkan kemajuan yang lebih bermakna.
“Bak kata peribahasa, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat,” kata Encik Lee
Menyentuh mengenai budaya Melayu pula, Encik Lee mengumumkan pertandingan mereka bentuk bangunan Wisma Geylang Serai.
Beliau berharap masyarakat akan mengambil peluang memberikan idea bagi menjayakan projek tersebut. (Berita Harian Singapura)