Wednesday, October 19, 2005

Kepupusan Sifat kelelakian : tanda akhir zaman...

Lelaki pelindung wanita makin kurang
Oleh Mohd Fazri A Murad
DALAM hadis yang diriwayatkan Anas bin Malik,
Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Antara tanda hari kiamat ialah
ilmu semakin sedikit
dan kejahilan semakin banyak,
zina akan berleluasa,
wanita semakin ramai
dan lelaki [qowwamun] semakin kurang
sehingga 50 wanita hanya dilindungi seorang lelaki”.
(Bukhari dan Muslim)Ia adalah satu topik menarik yang selalu dibincangkan
dalam pelbagai forum kebapaan iaitu seolah-olah kini
nilai kelelakian semakin pupus sama ada dari segi
mahupun tanggungjawab. Mengapakah fenomena
ini terjadi, apakah puncanya, dan bagaimanakah
langkah terbaik untuk mengatasinya? Mungkin ramai
yang beranggapan ia membawa maksud bertambahnya
bilangan ‘lelaki lembut’ yang meniru gaya hidup wanita,
seperti yang pernah dibincangkan di akhbar tempatan
suatu masa dahulu, atau semakin kurangnya bilangan
lelaki di dunia pada masa ini.Pada hakikatnya yang dimaksudkan ialah kurangnya
lelaki yang menjalankan peranan mereka sebagai lelaki
seperti yang diperintahkan Allah di dalam al-Quran iaitu
lelaki sebagai ‘qowwamun’ (pelindung) kepada wanita.
Allah berfirman di dalam

surah an Nisa’ ayat 34:

Yang bermaksud: Kaum lelaki adalah pemimpin bagi
kaum wanita kerana Allah telah melebihkan sebahagian
mereka (kaum lelaki) atas sebahagian yang lain (kaum wanita)
dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian
daripada harta mereka.Lelaki mendapat dua bahagian lebih daripada kaum wanita
dalam pembahagian harta pusaka, lelaki dikehendaki membayar
mahar apabila berkahwin, lelaki dikehendaki menggauli isterinya
dengan baik, lelaki juga diizinkan berpoligami hingga 4
orang isteri dengan syarat mampu berlaku adil. Mengapakah
lelaki diberi kelebihan oleh Allah daripada wanita dalam banyak
perkara? Jawapannya ialah kerana lelaki itu memimpin
perempuan, bukan perempuan memimpin lelaki dan tidak
pula sama kedudukannya.Lelaki memimpin wanita bukan sahaja berlaku pada manusia,
bahkan pada haiwan. Lihatlah bagaimana haiwan jantan memimpin
yang betina. Jika ada sekumpulan itik jantan dan betina maka
itik jantan yang memimpin berpuluh-puluh itik yang mengiringinya
dan begitulah seterusnya.Maksud hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim ada menyatakan
bahawa antara tanda akhir zaman ialah lelaki semakin kurang
daripada wanita dan yang lebih parah, 50 wanita hanya dijaga seorang lelaki.Merujuk kepada matan hadis itu, Rasulullah juga menggunakan
perkataan ‘qowwamun’ yang bermaksud pelindung untuk 50 wanita
dan baginda tidak menggunakan perkataan ‘ar-rijal’ yang membawa
makna lelaki di dalam bahasa Arab. Maksudnya, golongan lelaki
yang menjaga wanita semakin sedikit bilangannya pada hari ini.Yang ramai ialah lelaki yang tidak menjadi penjaga wanita,
sebaliknya mengeksploitasi, merogol dan menjadikan mereka
sebagai alat melepaskan nafsu. Lihatlah laporan yang selalu dipaparkan di media cetak dan
elektronik mengenai moral atau akhlak masyarakat kita,
khususnya orang Melayu Islam yang semakin hari semakin tenat.Peningkatan kes rogol, sumbang mahram, bunuh,
samun, ragut wanita, dera isteri, anak dan
pembantu rumah, jelas menunjukkan
betapa hilangnya nilai serta peranan ramai lelaki di negara ini.
Fenomena ini bukanlah merujuk kepada hilangnya sifat kelelakian
kerana mereka bertukar jantina, tetapi disebabkan tidak menjalankan
tugas sebagai lelaki yang sebenarnya sebagai pelindung kepada
wanita, seperti yang termaktub di dalam al-Quran dan hadis nabi.Jika seseorang lelaki itu mempunyai sifat pelindung maka dia
akan melihat wanita sebagai kelompok insan yang memerlukan
perlindungan, dihormati, dijaga maruah mereka, tidak dikasari,
tidak diekspolitasi, apatah lagi diperlakukan sesuka hati seumpama
barang mainan. Pendek kata jika masyarakat
mempunyai ramai lelaki pelindung,
kuranglah masalah kekeluargaan dan sosial.Dalam kehidupan berkeluarga, masyarakat amat memerlukan
lelaki bersifat pelindung. Mereka tidak akan malas di rumah
dan membiarkan isteri dan anak sahaja membanting tulang
setiap hari. Selain itu mereka tidak akan memukul atau
mendera sama ada isteri mahupun anak, tidak menengking,
tidak mengherdik, tidak memaki, mencaci dan mencarut
kepada isteri dan ahli keluarganya. Lelaki pelindung juga tidak
akan menggadaikan maruah anak dan isterinya walau sesulit
manapun masalah yang dihadapinya. Sayangnya lelaki pelindung
semakin pupus bilangannya dalam masyarakat hari ini.Namun, wanita juga turut menyumbang
kepada pelupusan sifat pelindung lelaki berikutan
lantangnya suara sumbang golongan aktivis wanita yang ingin
menyamaratakan taraf wanita dan lelaki tanpa menyedari akan risikonya. Mereka
juga galak menyeru kepada usaha dominasi wanita terhadap
tugas yang selama ini dipegang kaum lelaki. Pada masa sama,
semakin ramai pula wanita yang rela diri mereka dieksploitasi
oleh lelaki yang mementingkan nafsu dan keuntungan material
semata-mata, hingga wujudnya golongan Pelayan Pelanggan
(GRO) atau pelacur yang dianggap bukan lagi suatu masalah
dalam masyarakat.Media massa berlumba-lumba menggunakan wanita untuk
melariskan produk mereka. Apa logiknya wanita berpakaian
ketat dan seksi berbaring di atas kereta baru yang hendak
dilancarkan? Perkara seumpama ini tidak akan berlaku jika
lelaki mempunyai sifat pelindung dan wanita pula menyedari
mereka wajib dilindungi, bukan dieksploitasi atau diperalatkan
untuk kepentingan duniawi.Persoalannya, bagaimanakah caranya untuk menyedarkan
kaum lelaki mengenai tugas mereka? Dalam hal ini, lelaki
Muslim perlu menyedari kedudukan mereka di hadapan Allah
dan kembali kepada Islam yang mengangkat martabat wanita
dengan lelaki sebagai pelindung martabat tersebut.Jika lelaki Muslim sedar bahawa dia hamba Allah, maka dia
wajib menurut perintah Allah. Jika ingin mengikuti perintah
Allah, dia wajib patuh ajaran al-Quran yang menyuruh lelaki
menjadi pelindung kepada wanita dan mengikut contoh pelindung
terbaik iaitu baginda Rasulullah saw. Rasulullah tidak pernah
menyakiti apatah lagi menganiaya dan menzalimi wanita,
terutama isteri baginda sendiri. Baginda mengajar kita melindungi
wanita yang menjadi sebahagian daripada unsur utama masyarakat
Islam. Dengan mengikuti sunnah Baginda, seseorang lelaki itu akan
sentiasa menjadi pelindung kepada wanita.

Sabda Rasulullah di dalam sebuah hadis :
Daripada Muawiyah b Haidah al Qusyairi bahawa dia
pernah bertanya kepada Rasulullah: Ya Rasulullah!
Apakah hak isteri kami ke atas suaminya. Baginda menjawab,
jika engkau makan dia pun hendaklah diberi makan,
jika engkau membuat pakaian, dia hendaklah diberi pakaian,
kalau memukul jangan mukanya dipukul dan jangan dikatakan
dia buruk. (Abu Daud)

-------------------------------------------
Arkib Harian Metro!
Tiada yang lebih tinggi dan indah dari Islam...

1 comment:

Anonymous said...

This is very interesting site... »