Thursday, July 28, 2005

Analysis populariti Mawi AF3 (Tanya Linda)

Analisis populariti Mawi AF3 dari kaca mata seorang profesional
Saudara Pengarang,
SAYA terpanggil untuk mengulas perbincangan di rancangan Tanya Linda di Astro Ria pada 26 Julai 2005 mengenai seorang peserta Akademi Fantasia 3 (AF3) iaitu Mawi.

Sebagai seorang yang terpelajar, saya berasa amat malu mendengar hujah-hujah yang dikeluarkan oleh pihak pembangkang pada malam itu terutama profesor yang telah dijemput. Pihak pembangkang seolah-olah `hentam keromo' dan tidak membuat sebarang kajian mendalam mengenai rancangan itu dan industri muzik kita.

Pertama, soal peminat Mawi yang hanya datang dari luar bandar. Saya dibesarkan di Kuala Lumpur selama hampir 35 tahun, berkelulusan profesional dalam bidang perakaunan tetapi saya meminati bakat Mawi. Adakah saya orang luar bandar?

Boleh dikatakan ramai peminat Mawi terutama sekali pengundi senyap adalah golongan profesional yang menetap di bandar. Apakah fakta dan analisis yang dibuat oleh pembangkang tersebut untuk membuktikan bahawa peminat Mawi hanya mereka yang berada di luar bandar, tidak berpelajaran dan low class? Selagi bukti dan sampling tidak ada, maka teori itu hanya tinggal teori sahaja.

Kedua, soal semua penyanyi perlu tahu bermain muzik. Adakah Siti Nurhaliza pandai bermain muzik semasa dia mula diminati? Apa yang dia pertaruhkan hanyalah suara dan bakat. Dia mula belajar daripada kosong apabila dia masuk ke dalam industri ini. Saya rasa pihak pembangkang perlu sedar bahawa pendidikan seperti muzik, tarian dan seni persembahan ini masih merupakan satu kemewahan kepada masyarakat kelas pertengahan ke bawah kerana fokus mereka adalah memastikan pendidikan formal yang lain.

Tidak semua orang mampu mengikuti kelas vokal dan muzik secara profesional dan tidak semua orang berpeluang masuk ke UiTM atau universiti lain untuk belajar muzik.

Jika kita hendak berjaya dalam dunia luar, teori sahaja tidak mencukupi untuk memastikan kita terus bertahan tetapi juga kreativiti, keikhlasan dan kesungguhan untuk melakukan sesuatu. Perkara yang pembangkang asyik bangkitkan itu kalau kita belajar sosiologi manusia kita akan panggil perkara seperti ini paralysis by analysis.

Sekarang baru saya faham kenapa pelajar-pelajar kita yang keluar dari pusat pengajian tinggi hebat dari segi kelulusan di atas kertas tetapi gagal menjadi analitikal dan kreatif.

Ketiga, pihak pembangkang seolah tidak memahami konsep rancangan tersebut walaupun sudah diterangkan dengan jelas oleh Iman Wan. Amatlah memalukan apabila perkara begitu jelas tidak difahami. Saya dapat merasakan mungkin pihak pembangkang bukanlah penonton yang mengikuti rancangan ini setiap minggu kerana hujah yang diberi seperti tiada analisis sebenar dan tidak melihat kepada keseluruhan rancangan tersebut.

Kalau kita sekadar ingin mencari seorang peserta yang boleh menyanyi, maka tidak perlu ada perkara seperti diari. Melalui diari inilah penonton dapat menilai peserta mana yang boleh diterima oleh umum dan peserta mana yang kalau buat album pun sekadar untuk memenuhi pasaran sahaja.

Keempat, persoalan kenapa ramai orang meminati Mawi tetapi tidak Felix atau Marsha yang dikatakan berbakat? Jawapannya ialah setiap seorang manusia itu dianugerahkan oleh Allah kelebihan mereka. Ada orang yang boleh menyanyi dengan sempurna dan hebat tetapi gagal menambat hati orang ramai. Ada orang yang cuma mampu memberikan senyuman tetapi boleh mengubat kelukaan hati seseorang.

Apa yang ada pada Mawi ialah dia ada kelebihan tersendiri. Sebab lain ialah stigma yang dimainkan oleh peminat peserta lain seperti irama nasyid dan lagu Arab yang tiada kelas dan kata-kata hinaan yang budak Felda tidak boleh maju.

Perkara seperti ini tidak boleh dimainkan terutama sekali di dalam mencari undi masyarakat Melayu. Irama nasyid begitu sinonim dengan orang Melayu dan agama Islam. Memperlekehkan nasyid dilihat seperti memperbodoh-bodohkan orang Islam itu sendiri.

Hinaan `anak Felda tidak sampai ke mana' juga merupakan isu yang sensitif kerana pantang anak Melayu dicabar dengan kata-kata seperti itu. Lagipun sudah ramai anak Felda yang berjaya dan memegang jawatan yang tinggi dalam sektor-sektor besar sekarang. Jadi kenapa Mawi juga tidak boleh berjaya?

Kelima, adakah peminat Mawi akan terus meminati beliau selepas keluar dan membeli album beliau? Jawapannya ya. Saya melihat corak peminat Mawi ini berlainan daripada para peminat juara AF musim-musim lalu. Mereka begitu konsisten memberikan undian. Majoriti peminat beliau adalah dari linkungan umur 25 tahun sehingga 45 tahun yang mempunyai kuasa besar membeli album dan juga kredit untuk mengundi.

Soalnya adakah Maestro Talent Management dapat memasarkan Mawi dengan baik dan menghasilkan album yang berkualiti? Zahid bagi saya gagal menghasilkan album yang memberansangkan jika dibandingkan dengan Adam. Amatlah rugi jika pihak Maestro tidak melihat peluang ini dan mengasah bakat yang ada pada Mawi.

Maka sudah tiba masa industri ini melihat apa sebenarnya yang diingini oleh masyarakat. Peminat-peminat beliau bukanlah fanatik seperti yang digembar-gemburkan kerana mereka juga merupakan pengkritik Mawi yang paling vokal apabila Mawi tidak membuktikan kebolehan beliau. - PENGUNDI SENYAP, Selangor.