Saturday, August 13, 2005

Keistimewaan Istighfar

Pada suatu hari seorang cendekiawan Islam bernama Hassan al-Basri sedang duduk berbincang-bincang bersama beberapa sahabat di rumahnya. Para sahabatnya sering meminta pandangan beliau dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang mereka hadapi. Sedang mereka berbincang, tiba-tiba datang seorang lelaki dalam keadaan bersedih dan mengadukan masalahnya kepada Hassan al-Basri. “Cuaca terlalu panas dan hujan sudah lama tidak turun. Tanaman saya banyak yang sudah mati,” lelaki itu mengadu kepada Hassan Al-Basri. Hassan al-Basri menasihati lelaki itu: “Saudara, banyakkanlah ‘istighfar’ (memohon ampun) kepada Allah Taala”. Setelah mendengar nasihat tersebut, lelaki itu beredar untuk kembali ke kampungnya. Selang beberapa ketika, datang pula seorang lelaki lain bertemu dengan Hassan al-Basri. Lelaki itu mengadu: “Saya menderita kemiskinan, apa yang perlu saya lakukan.” Mendengar aduan lelaki itu, Hassan al-Basri menasihatinya: “Saudara, banyakkanlah ‘istighfar’ kepada Allah SWT.” Setelah mendengar pesanan itu, lelaki itu pulang ke tempatnya. Kemudian datang pula seorang lelaki juga bertujuan mengadu masalahnya kepada Hassan al-Basri. “Tuan, isteri saya mandul dan tidak dapat melahirkan zuriat untuk saya,” lelaki itu mengadukan masalahnya. Hassan al-Basri bersimpati dengan masalah yang dihadapi lelaki itu, lalu beliau berpesan: “Saudara, banyakkanlah ‘istighfar’ kepada Tuhan, moga-moga masalah kamu akan selesai.” Setelah mendengar nasihat itu, lelaki itu kembali ke rumahnya. Akhir sekali, datang pula seorang lelaki lain menemui Hassan al-Basri juga mengadukan masalah hidupnya. “Tuan, ladang saya sudah tidak subur sehingga hasil pendapatan saya semakin berkurangan,” adu lelaki tersebut. Sama seperti keadaan sebelum ini, Hassan al-Basri tetap memberikan nasihat yang sama: “Saudara, banyakkanlah ‘istighfar’ kepada Allah SWT.” Setelah mendengar nasihat itu, lelaki itu pulang ke rumahnya. Para sahabat yang memerhatikan peristiwa hari itu berasa hairan dengan nasihat yang diberikan oleh Hassan al-Basri. Setiap kali orang datang mengadukan masalah, jawapan atau nasihat yang diberikan beliau semuanya sama. Beliau menasihatkan mereka banyak-banyak memohon ampun (istighfar) kepada Allah SWT. Bagi memuaskan hati masing-masing, mereka bertanyakan hal itu kepada Hassan al-Basri: “Kenapa tuan memberikan nasihat yang sama sahaja kepada mereka sedangkan masalah mereka berbeza-beza.” Beliau menjelaskan: “Tidak tuan-tuan pernah mendengar firman Allah SWT. dalam al-Quran: “Maka aku (Nabi Nuh a.s.) berkata kepada mereka (kaumnya): “Mohonlah keampunan kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun. Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat, dan memperbanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai. Mengapa kamu tidak percaya kepada Kebesaran Allah?” (Surah Nuh : ayat10-13). Kita diperintahkan memperbanyakkan ‘istighfar’ kepada Tuhan sebagai jalan menghapus dosa yang kita lakukan. Rasulullah s.a.w. sendiri memohon ‘istighfar’ lebih daripada 100 kali sehari semalam. Selain dapat menghapuskan dosa, ‘istighfar’ juga dapat memenuhi keperluan dan hajat seharian kita.

No comments: