LAMA juga menatap komputer riba ini, cuba mencari kata-kata sesuai sebagai pemula. Dalam kepala hanya terpahat kisah Asmawi Ani (Mawi) yang pertama kali bersua dengannya. Lalu saya teringatkan program HO Live Ahad lalu apabila pengacaranya, Halim Othman bersiaran secara langsung bersama empat finalis yang ketika itu berada di banglo untuk jamuan BBQ.Apabila Halim tanyakan Mawi, apa keistimewaan yang ada pada Mawi sehingga menjadi kegilaan ramai. Jawab Mawi, dia tidak tahu. Bukan saja Halim, saya yang menonton juga tidak berapa puas hati dengan jawapan itu.Namun sebenarnya, itulah Mawi. Selepas bersua muka tengah hari Rabu lalu, sedikit sebanyak saya mula mengenali anak muda dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu.
Biarpun ketika kesempatan sembang-sembang itu agak kelam-kabut dengan kehadiran peminatnya, saya mendapat sesuatu daripadanya.Bukan ‘jugdemental’ tetapi saya dapat rasakan betapa dia masih terkejut dengan apa yang dilaluinya sekarang. Belum pun seminggu tamat graduasi, tekanan mula menyelinap. Bukan dirinya saja bahkan tempias populariti Mawi mula terpercik kepada keluarga, tunang dan keluarga tunangnya.Idola, ikon, jurucakap dan lain-lain yang sewaktu dengannya diberikan kepada Mawi. Kononnya Mawi turut menjadi topik perbualan golongan intelektual, maka ramailah cuba melekatkan label ikon itu kepadanya. Walhal ketika itu, dia belum tahu apa-apa, masih dikuarantinkan dalam AF3. Pastinya ini mengejutkan pucuk muda seperti Mawi. Malah ketika sidang media sebaik tamat konsert final minggu lalu, Mawi melahirkan kejutan itu.“Saya takut orang akan letakkan harapan tinggi. Saya hanya orang biasa,” katanya.Terlalu drastik gelaran itu diberikan kepadanya. Kalau setakat populariti ‘tsumawi’, pada saya masih dikira OK tetapi kalau ikon, perlu difikirkan semula. Kasihan kerana biarlah apa-apa gelaran besar itu mendapat persetujuannya terlebih dulu.Siti Nurhaliza juga popular dan mencetuskan fenomena tetapi sekurang-kurangnya Siti mendaki dari satu anak tangga ke anak tangga kemuncak. Berbeza dengan Mawi yang baru 10 minggu berdepan dengan pemerhati seni. Janganlah terlalu mengharapkan yang tinggi, saya bimbang lain pula jadinya.Pertemuan dengan saya Rabu lalu itu, meninggalkan kenangan manis kepada saya.
Air mata lelaki Mawi, tidak reti untuk berhenti. Terus-terusan mengalir. Bual bicaranya juga tersekat-sekat dalam sebak. Saya dan Aman Ali (Maestro) yang turut berada di situ, mula merah mata. Lalu air jernih tidak mampu ditahan lagi.“Kalau orang kata terharu, hanya sekadar sebut saja. Tetapi inilah yang ‘real’,” kata Aman sambil mengusap belakang Mawi.Mungkin belum sepenuhnya saya mengenali pemuda jujur dan lurus ini. Kadangkala apa yang dicakap, terpaksa saya simpan, bukan untuk dicatatkan di sini atau mana-mana tulisan saya. Bimbang ada pihak yang terguris tetapi itulah pengakuan jujurnya.Semua ini kerana saya sedar, tidak semua daripada kita boleh mendengar benda yang terlalu jujur. Kadang-kadang kejujuran itu menyakitkan dan disalahertikan.
Bagaimanapun anda semua boleh mengikuti temu bual eksklusif saya bersama Mawi dalam versi panjang dalam Metro Ahad esok.Biarpun kata Mawi, dia akan cuba memikul dan menggalas tanggungjawab sebagai ikon tetapi jauh di sudut hatinya, terbuku sesuatu mengenai ‘kerja barunya’ itu.“Saya tidak minta ini semua. Saya masuk AF3 hanya untuk membantu keluarga saya yang selama ini susah,” katanya sebak.Sebab itulah saya kata, bukan mudah menjadi Siti Nurhaliza dan inikan pula, Mawi yang terlalu mentah untuk mendayung ke tengah gelora lautan seni hiburan. Bagaimanapun dari jauh, saya mendoakan Mawi menemui apa yang dicari dalam perjuangannya. Insya-Allah!
No comments:
Post a Comment