Monday, August 29, 2005

Dr Mahathir perjelas isu AP, Proton

PENJELASAN ini ingin saya buat kerana akhbar dan TV tidak mungkin melapor semua fakta kepada orang ramai.

Soal Proton bukan soal perbezaan kenyataan antara mana-mana individu atau perkelahian antara menteri dengan pesara. Sebaliknya, ia adalah berkenaan sebuah perusahaan nasional.

Pada zaman ketika mana banyak perusahaan kereta bermotor sudah bankrap dan tutup kedai, umpamanya Austin, Morris, MG-Rover dan lain-lain syarikat gergasi seperti General Motors dan Chrysler sudah bankrap, Proton masih hidup dan subur, mempunyai wang tunai lebih daripada RM2 bilion dan tidak bergantung kepada kerajaan atau bank untuk melabur lebih daripada RM2 bilion dalam kilangnya yang baru di Tanjung Malim.

Saya tidak iri hati dengan orang Melayu yang menjadikaya. Tetapi kekayaan mereka hendaklah dengan jalan yang sah ”Sedikit sebanyak kejayaan ini tentulah hasil pengurusan yang cekap, lebih-lebih lagi memandangkan kesan daripada import kereta buatan asing yang begitu banyak dengan harga import yang begitu murah.

AP (Approved Permit) mula dikeluar pada 1970-an, sebelum ada Proton. Pada masa itu, orang Melayu tidak dapat masuk perniagaan kereta kerana ejennya seperti Kah Motors (Honda), UMW (Toyota) dan Cycle and Carriage (Mercedes) dan lain-lain terdiri daripada bukan Bumiputera. Mereka enggan memberi peluang bagi peniaga Bumiputera.

Kereta yang dipasang dalam negara atau diimport oleh ejen/pengedar/pengimport yang rasmi tidak boleh diimport oleh sesiapa lain, tanpa membayar ‘over-riding’ komisen kepada ejen rasmi. Justeru, AP diberi untuk import kereta terpakai yang dibaiki (recond cars). Walaupun ramai Bumiputera yang menjual AP, ada Bumiputera yang berjaya dalam bidang perniagaan ini. Di antara mereka ialah Tan Sri S M Nasimuddin S M Amin. Tanpa AP ini tidak mungkin ada peniaga kereta Bumiputera sebelum Proton dikeluarkan. Apabila Proton dikeluarkan, ramai Bumiputera yang berjaya menjadi ejen penjual kereta Proton.

Pengeluaran Proton berjaya mengurangkan import kereta buatan asing oleh ejen bukan Bumiputera. Sudah tentu lebih banyak permintaan untuk Proton, lebih ramailah ejen Bumiputera dan lebih larislah penjualan oleh mereka. Sebaliknya, apabila AP diberi dengan lebih banyak kepada sebilangan kecil Bumiputera dan mereka ini pula tidak ada apa-apa persediaan untuk berniaga, maka tentulah jumlah peniaga kereta Bumiputera tidak bertambah dengan banyak dan penjualan Proton oleh ejen Proton yang terdiri daripada Bumiputera tidak akan laris. Lagipun, harga kereta asing yang diimport dengan AP ini terlalu rendah, yang mana ini membolehkan kereta ini diberi diskaun tinggi dan penjualan menjadi laris. Pada masa sama, ejen Proton tidak dapat ditambah.

Jelas sekali pemberian AP ini menguntungkan segelintir Bumiputera tertentu dan merugikan ejen Proton, Bumiputera terutamanya serta mengurangkan peluang Bumiputera lain untuk menjadi peniaga kereta Proton. Tidaklah benar pengeluaran AP yang banyak menambah bilangan Bumiputera dalam perniagaan kereta, terutama apabila dua tiga orang yang tidak ada kedai mendapat beribu-ribu AP.

AP Terbuka dulu membolehkan pemegang mengimport pelbagai jenama. Apabila diperkenalkan AP Francais, maka hanya mereka yang dapat francais ini saja yang boleh mengimport jenama berkenaan. Mereka yang dulu dibenarkan mengimport melalui AP Terbuka, sekarang tidak lagi dapat mengimport jenama berkenaan. Yang mendapat francais ini bukanlah peniaga kereta, tetapi bekas pegawai kementerian. Mereka ini mendapat beribu-ribu AP walaupun tidak ada kemudahan untuk memasang atau menjual kereta ini. Mereka hanya menyerah (dengan bayaran tertentu) kepada pihak yang mampu memasang dan menjual kereta jenama tertentu ini.

Soal kualiti Proton tidak timbul kerana Proton berjaya menembusi pasaran seperti United Kingdom dan Australia. Namun, keluaran model baru tetap mempunyai sedikit kecacatan. Berpuluh ribu kereta jenama terkenal biasa ditarik balik kerana kecacatan tertentu. Ini termasuk Mitsubishi, Chevrolet, Ford dan lain-lain.

Penjelasan ini dibuat demi maruah dan kepentingan negara dan sebuah perusahaan nasional yang berjaya. Saya tidak ada apa-apa kepentingan dalam Proton. Saya tidak menerima barang satu sen pun sebagai Penasihat Proton. Jika anak saya dapat sebilangan yang kecil (95 AP) untuk kereta Porsche, ia adalah mengikut syarat. Untuk menjual 50 biji kereta jenama ini tidak mudah. Janganlah seperti dulu mengaitkan keluarga saya apabila perbuatan yang tidak harus dibuat dilakukan.

Saya terpaksa mendedah sepenuhnya kerana kepentingan perusahaan negara, bukan seperti yang didakwa oleh seorang penulis akhbar berbahasa Inggeris kerana saya tidak dapat AP. Saya terima surat penjelasan daripada YB Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Saya dapati isi kandungan surat berkenaan serta lampiran tidak menjadi bukti akan kebenaran dakwaan YB Menteri berkenaan.
i) Kelulusan untuk Naza Ria menjadi kereta nasional;
ii) Jumlah AP yang dikeluarkan pada 2004-2005;
iii) Asas dan syarat untuk keluaran AP;
iv) Jenis AP yang dikeluarkan;
v) Nama-nama mereka (syarikat/individu) yang mendapat AP dan jumlah yang didapati masing-masing.

Pada Perhimpunan Agung Umno pula, YB Menteri membuat beberapa dakwaan yang tidak benar. Juga dalam temuramah TV menteri mendakwa bahawa saya mungkin sudah lupa itu dan ini. Walaupun saya sudah berusia 80 tahun, saya belum lagi nyanyuk. Pada mulanya, selepas menjawab surat menteri dengan salinan kepada Kabinet, saya tidak berhajat untuk membuat apa-apa kenyataan lagi. Terpulanglah kepada Kabinet untuk menentukan apakah yang benar dan apa yang tidak benar. Tetapi oleh kerana YB Menteri tidak membuat kenyataan yang benar kepada perwakilan Umno dan orang ramai, maka terpaksalah saya membuat penjelasan. Ketika saya jadi Perdana Menteri, tidak ada keputusan oleh kerajaan untuk tidak mengisytihar nama pemegang AP kepada orang ramai. Mungkin kerajaan sekarang membuat keputusan ini. Soalnya ialah apakah keputusan ini dibuat sebelum atau selepas YB Menteri membuat kenyataan bahawa dasar kerajaan tidak membenarkan nama pemegang AP diumumkan.

Saya pernah menjadi Menteri Perdagangan dan Industri. Penjelasan oleh YB Menteri bahawa apabila beliau mengambil alih kementerian, ada ramai yang diberi AP yang tidak memenuhi syarat dan beliau membatalkan AP kepada mereka, mencerminkan ketegasan YB Menteri pada masa itu. Siapakah Menteri Perdagangan dan Industri yang mendahului YB Menteri sekarang? Jika tidak disebut mungkin ada yang memikir sayalah orangnya.
Pemberian AP kepada bekas pegawai kerajaan. Walaupun tidak ada larangan secara rasmi bahawa pegawai yang baru bersara (secara pilihan) diberi peluang istimewa oleh kerajaan, tetapi umum tertanya-tanya kenapa bekas pegawai ini, dengan tidak pun memiliki syarat yang ditetapkan diberi beribu-ribu AP.

Kita tahu ramai daripada peniaga kereta, termasuk yang menjadi ahli Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) meminta AP tetapi tidak dapat. Mereka juga tidak diberitahu berkenaan kategori francais daripada pengeksport yang jika didapati melayakkan anugerah AP yang banyak. Pengenalan AP Francais ini tidak diumum kepada peniaga kereta secara terbuka. Tiba-tiba kategori ini diperkenalkan dan orang tertentu mendapat AP yang begitu banyak dalam kategori ini dan pemegang AP yang dulu dapat mengimport jenama francais, tidak lagi dibenar mengimport jenama ini. Saya tidak iri hati dengan orang Melayu yang menjadi kaya. Tetapi kekayaan mereka hendaklah dengan jalan yang sah. Saya berkali-kali menegur mereka yang menjual AP untuk kaya cepat. Nampak jelas yang penjualan AP berleluasa sekarang. Adalah menjadi tanggungjawab seseorang menteri untuk memerhati keadaan supaya sebarang penyelewengan tidak berlaku. Butiran terperinci berkenaan surat menyurat antara pihak berkenaan akan disusuli kemudian untuk mengelak daripada pertikaian.

1 comment:

Anonymous said...

What a great site
» »