MEMILIH TEMAN HIDUP SEPERTI MENCARI MUTIARA DI PASIR PANTAI. JIKA TERSALAH PILIH, RUMAH TANGGA YANG MENJANJIKAN KEBAHAGIAAN BERAKHIR DI TENGAH JALAN. BANYAK PETUA DAN PANDUAN DI SANA SINI YANG BOLEH DIAMBIL UNTUK DIJADIKAN IKTIBAR.
Walau segunung ilmu dicurahkan dan seluas lautan cinta diberikan, tetapi jika diri sendiri tidak bijak mengambil peranan untuk memberi keharmonian dalam perhubungan, lama-kelamaan ia menjadi pudar. Wanita kini semakin bijak menguruskan hal rumah tangga mahupun di tempat kerja. Namun ada kalanya berlaku perkara-perkara yang boleh menguji kesabaran, kewarasan minda serta kemampuan fizikal. Ada kalanya cabaran yang paling besar datangnya dalam keluarga sendiri iaitu pasangan hidup. Bagaimanakah cara untuk menanganinya?
Melalui buku berjudul "Seiring Sejalan" selenggaraan Mazuen Yahaya, terbitan Alaf 21 (www.alaf21.com.my), terdapat banyak panduan dikemukakan untuk keharmonian rumah tangga. Antara panduan yang diberikan seperti berikut:
Agar si dia rasa istimewa
Kehidupan berumah tangga tidak seperti waktu bercinta. Apabila si dia sudah berada di depan mata, ada kalanya anda tidak lagi peka dengan kemahuan dan kehendak pasangan. Sikap ambil mudah membuat si dia rasa terabai. Penampilan diri sebagai wanita anggun di rumah menjadi keutamaan. Pilih pakaian yang digemari. Bak kata sedap mata memandang, sejuk hati yang melihat. Jika berbicara, anggaplah dia seperti maharaja yang disayangi. Perasaan hormat dan melihatnya dengan rasa kasih sayang membuatkan si dia berasa tenang berada di sisi anda. Sediakan makanan kesukaan dan panggil suami dengan nada yang menyenangkan.
Cuba selami fikiran pasangan anda
Wanita dikatakan lebih sensitif dan peka daripada lelaki. Kelebihan itu hendaklah digunakan bagi mengenali pasangan anda dengan lebih dekat dan cuba baca fikirannya secara senyap. Contohnya, pasangan anda tidak menumpukan pada belaian dan kemesraan anda. Tanyakan soalan yang tidak menyinggung perasaannya seperti ‘abang rasa letih ya’ atau ‘mengantuk ke?’ Anda perlu memahami keadaan pasangan yang mungkin rasa tertekan atau keletihan di luar. Untuk menghargai pasangan anda, sering berbincang terutama dalam membuat keputusan yang melibatkan anda berdua dan keluarga supaya dia berasakan dirinya diperlukan.
Hidup bahagia tanpa sengketa
Hidup sendirian mahupun bersama pasangan memang tidak dapat lari daripada konflik atau persengketaan. Masalah kecil mahupun besar yang mendatang dan menguji kekuatan jiwa perlu dihadapi dengan hati terbuka. Sebagai orang Islam, kunci kekuatan jiwa terletak pada keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT. Sikap redha seorang isteri terhadap suaminya merupakan langkah paling baik. Di samping itu, anda boleh mengambil iktibar daripada kejadian itu untuk memperbaiki diri. Ada kalanya pertelingkahan dalam rumah tangga itu ada kebaikan kerana ia boleh membawa kemesraan selepas berbaik semula. Jangan fikir untuk cari jalan penyelesaian dengan mudah seperti keluar dari ikatan perkahwinan. Ini kerana pasangan baru itu belum tentu boleh membahagiakan anda.
Ishkkk macam tak abis lah pulak artikel nie.. so, sebab saya sendiri pun tak baca buku tu.. (InsyaAllah akan diusahakan untuk mencarinya).. sampai di sini saja lah cerita untuk menjadi pasangan seiring.. :D..
No comments:
Post a Comment