Friday, March 03, 2006

Tazkirah pagi Jumaat

CARA MENGHADAPI TENSION


Petikan: "Apabila berhadapan dengan ujian, waktu itu akan terserlah penyakit-penyakit hati yang masih bersarang di dalam hati kita, seperti sombong, pemarah, hasad dengki, dendam dan lain-lain lagi.Penyakit hati ini mungkin tidak terkesan dalam suasana yang selesa tetapi ia akan terasa dan terserlah apabila hati kita tertekan.Setiap takdir Tuhan ada hikmahnya untuk kebaikan manusia itu juga. Terimalah ujian dari Tuhan secara positif, hati kita akan tenang."

Setiap hari, ada-ada sahaja perkara yang mencabar kesabaran dan menekan jiwa kita. Anak meragam, suami buat acuh tak acuh, isteri merajuk atau meragam, rakan sepejabat mengumpat di belakang, perniagaan tidak menguntungkan, saham jatuh nilai dan lain-lain lagi. Begitulah nasib kita manusia. Sejauh mana pun kita cuba untuk mengelakkan perkara-perkara yang mengganggu keselesaan kita, ia tetap akan berlaku juga.

Sebagai makhluk yang diciptakan, sedikit pun kita tidak ada kuasa untuk menolak ketentuan Tuhan.Kalau Tuhan mahu kita sakit, walau bagaimana sekali pun kita cuba menjauhi penyakit, kita tetap akan jatuh sakit. Kalau Tuhan tidak mahu kita jadi kaya, walau bagaimana sekali pun kita mengusahakan kekayaan, ia tidak akan dimiliki juga. Sememangnya usaha manusia itu tidak dapat menentukan apa-apa.

Lantas, persediaan apa yang perlu kita buat untuk menghilangkan tension ketika menghadapi pelbagai bentuk nasib 'malang' yang pasti menimpa kita? Antaranya ialah:

1. Mengenali diri kita sebagai penerima nasib malang itu dan juga mengenali Tuhan sebagai memberinya. Kita harus kenal bahawa diri kita adalah hamba ciptaan yang sangat lemah dan tidak ada apa-apa.Malah dalam penciptaan diri kita sendiri, kita tidak ada campurtangan, tidak ada tanam saham, langsung tidak ada memberi modal sama sekali. Keputusan untuk mencipta diri kita sendiri pun semuanya dibuat oleh Tuhan. Selain daripada seluruh badan kita yang begitu unik dan kompleks itu, Tuhan jugalah yang memberi kita daya usaha, fikiran dan perasaan. Lantaran itu, apabila Tuhan timpakan sesuatu kesusahan ke atas diri kita, inilah peluang untuk kita sedar bahawa diri kita adalah hamba yang lemah dan tidak punya apa-apa kuasa. Mungkin selama ini kita rasa berkuasa, rasa mampu dan rasa boleh, sehingga kita terlupa untuk bergantung dan berharap kepada Tuhan.

2. Setiap takdir Tuhan ke atas kita, selain kekufuran, semuanya mengandungi hikmah dan pengajaran. Antaranya ialah:
a. Kalau Tuhan sekali-sekala sakitkan kita, sudah tentu ada maksud yang baik dari Tuhan. Antara maksud-maksud baik Tuhan ialah Dia hendak hapuskan dosa kita, Dia mahu kita insaf di atas kelemahan diri kita, Dia mahu kita ingat-ingatkan kesalahan kita dan membaikinya serta bertaubat, Dia mahu kita rasai penderitaan orang lain agar kita menjadi orang yang lebih prihatin dan simpati. Dia juga mahu kita lebih bergantung dan berharap kepada-Nya.

b. Kalau Tuhan sekali-sekala miskinkan pula, tentu ada maksud pendidikan juga. Mungkin Dia mahu kita mendapat pahala sabar kerana miskin. Dia mahu kita rasai penderitaan orang miskin. Dan tentunya Dia mahu kita meneliti balik segala tindak-tanduk kita, apakah kita sudah melakukan apa-apa kesalahan dan kesilapan yang menyebabkan Tuhan tidak membantu kita.

c. Begitu juga apabila kita sekali-sekala dihinakan. Mungkin Tuhan mahu kita bertaubat kerana kita pernah menghina atau menzalimi orang lain ataupun Dia mahu kita ungkai rasa sombong yang bersarang di dalam hati kita. Atau Tuhan sengaja memberi kesusahan itu kerana Dia mahu mengangkat darjat kita di sisi-Nya.

d. Apabila berhadapan dengan ujian, waktu itu akan terserlah penyakit-penyakit hati yang masih bersarang di dalam hati kita, seperti sombong, pemarah, hasad dengki, dendam dan lain-lain lagi. Penyakit hati ini mungkin tidak terkesan dalam suasana yang selesa tetapi ia akan terasa dan terserlah apabila hati kita tertekan. Penyakit-penyakit inilah yang membuatkan kita tension. Bila tension, barulah kita tahu kita siapa. Kalau sebelum ini nampak lemah lembut, bila tension kita boleh jadi marah-marah tak tentu pasal. Kalau selama ini nampak sabar sahaja, bila tension kita boleh bertindak di luar batasan. Pendek kata, segala sesuatu yang ditimpakan ke atas kita adalah untuk kebaikan diri kita. Dia mahu mendidik setiap kita agar kita kembali kepada-Nya sebagai hamba yang diredhai-Nya. Dengan ini, kita akan terselamat dari kemurkaan-Nya.

3. Hendaklah pandai menerima ketentuan dan takdir Tuhan secara positif supaya hati kita akan tenang dan kita juga akan mendapat hasil yang positif daripadanya. Sebaliknya, kalau kita menerimanya secara negatif, hati kita akan tertekan dan tension dan sudah tentu kita juga akan
mendapat hasil yang negatif. Contohnya - Kita ditakdirkan mendapat anak-anak yang nakal. Setiap hari, ada sahaja kelakuannya yang sangat mengganggu kita. Kalau kita menerimanya secara positif, kita akan berkata kepada diri kita, "Kerana dosa akulah anak-anak aku ni nakal. Allah buat seperti ini untuk membersihkan dosa-dosa aku yang lepas."

Ataupun kita boleh berkata begini, "Tuhan beri aku ujian ini untuk memberi aku pahala sabar. Kalau aku sabar, bukan sahaja aku akan dapat ganjaran di sisi Tuhan tetapi yang lebih penting, aku dapat mendekatkan diri kepada Tuhan." Kalau beginilah penerimaan kita, tentulah kita tidak akan marah-marah atau berleter-leter, merotan dan menghukum anak di luar batasan atau mengamuk-ngamuk kepada suami kita pula. Sebaliknya, kita akan terus-menerus menasihatinya dengan baik dan mendoakan anak kita agar dia menjadi anak yang soleh satu hari nanti. Dan lazimnya, berkat baik sangkanya kita kepada Tuhan, anak itu akan menjadi anak yang baik apabila dia besar. Ini selaras dengan firman Tuhan yang maksudnya, "Aku di atas sangkaan hamba-hamba-Ku ke atas-Ku."
Penerimaan yang negatif pula ialah kita akan merungut-rungut kerana nasib yang ditimpakan itu, kita akan bersikap marah-marah serta melepas geram dengan menghukum anak serta terbawa-bawa sikap marah itu kepada orang lain. Hati kita mungkin berkata, "Kenapalah Tuhan berikan aku anak yang senakal ini," atau kita akan berkata, "Tak guna dapat anak macam ni. Bukannya menyenangkan, menyusahkan saja." Akibat didikan yang kasar itu serta sangkaan-sangkaan yang buruk terhadap Tuhan, anak itu bila besar kelak akan menjadi anak yang tidak baik akhlaknya.
Tension yang kita hadapi bila anak itu kecil akan terus kita hadapi sehingga dia besar. Bukan sahaja anak yang rugi, kita juga akan turut rugi sama. Ini semua kerana buruk sangkanya kita dan tidak pandainya kita menerima takdir Tuhan.

Lantaran itu, terimalah segala takdir Tuhan dengan sebaiknya. Anggaplah setiap takdir itu sebagai didikan terus dari Tuhan dengan penuh kasih sayang. Dengan sikap sebegini, hati tidak akan tension, kita dapat menambah rasa kehambaan serta dapat pula mengungkai sifat-sifat yang tidak baik dalam diri kita dengan lebih cepat. Malahan kita juga tidak akan mengakibatkan kesan tidak baik kepada orang di sekeliling kita.

Ampun Maaf.
Sumber Rujukan : Ust. Hj. Ashaari Muhammad
HORIZON ZERO

3 comments:

Sya said...

Ila.. kak sya hanya berpegang pada surah Al Insyirah sahaja. Itu adalah surah penenang jiwa yg Allah turunkan utk Rasullulah s.a.w. ketika baginda berputus asa utk meneruskan perjuangan mengeybarkan agama Islam.. Alhamdullilah kak sya dah lihat banyak keajaiban Surah ni..

... said...

Thanks kak sya sebab sudi berkongsi ilmu di sini.. really appreciate that.. muahsss..:D

su ailey said...

salam...terima kasih atas peringatan yg sgt berguna tu..btl2 tkesan dlm hati saya...